إنا نحن
نحيي الموتى Pertamanya Allah menggunakan kata ganti diri
“Kami” sebagaimana di banyak tempat lain di dalam Quran untuk menggambarkan
kekuatan dan kebesaran-Nya kemudian disebut antara jelasnya di sini kemampuan
sifat Allah dalam menghidupkan serta mematikan yang merupakan hak-Nya yang tersendiri.
Selain itu kata-kata Al-Imam Ibnu Kathir disini merupakan isyarat bahawa Allah
menghidupkan kembali hati-hati orang kafir yang mati kerana sebab kesesatan
sepertimana firman Allah di dalam surah Al-Hadid ayat 17 :
“Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan
bumi sesudah matinya; sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya.”
Ayat ini didahului oleh ayat 16
yang menceritakan akan terjadinya kekerasan terhadap hati akibat mengendahkan
syariah, hukum dan manhaj-Nya. Tambahan, disebutkan di dalam tafsir التحرير والتنوير ayat ini juga meletakkan kedudukan mereka
yang tidak menerima manfaat dari peringatan seperti kedudukan orang-orang yang
mati kerana didahului ayat ini dengan ayat 11 yang menceritakan ciri-ciri orang
yang menerima manfaat dari peringatan. Seperti kata-Nya didalam surah Yasin ayat
ke 70:
“Supaya ia memberi peringatan kepada orang
yang sedia hidup” (hatinya) . Juga
seperti kata-Nya didalam surah Ar-rum ayat ke 52: “kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan
orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu”, maka halnya syirik itu seperti kematian
dan terkeluarnya kita daripanya sepertilah juga diberi semula kehidupan.
Juga, Allah menghidupkan kembali manusia demi membalas kembali apa yang
telah mereka kerjakan dahulu semasa hayatnya mereka didunia, kerana itu kata
Syeikh Mutawalli Sya’rawi Allah mendahulukan sebutan bahawa Dia akan
menghidupkan kembali manusia itu terlebih dahulu (dalam ayat ini) dari
persoalan bahawa amal-amal mereka yang tertulis adalah kerana persoalan dan
keadaan adanya pembalasan dan kebangkitan merupakan tujuan dari segala amalan
di dunia dan disanalah tempat yang kekal lagi utama.
Manakala penulisan
terhadap amalan-amalan di dunia hanyalah merupakan proses sementara kerana itu
dikehadapankan sebutan tentang kebangkitan di akhirat kelak walaupun proses
pencatatan amal itu berlaku terlebih dahulu, inilah salah kesan I’jaz (mukjizat)
didalam Quran yakni susunan dan ayat yang sentiasa mempunyai signifikan yang
tertentu bagi hamba-hamba-Nya yang mengerti.
ونكتب ما
قدموا وآثارهم وكل شيء أحصيناه في إمام مبين
“Sesungguhnya
Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka
telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka
tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam
Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.”
Di sana terdapat satu hadith dari Abu Saei’d Al-khudri yang dinukilkan didalam
tafsir At-thobari yang menceritakan bahawa bani Salamah mengadu kepada Rasulullah akan jauh letak kediaman mereka dari masjid maka Allah menurunkan
ayat
“dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan
perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan…”,
maka apabila diturunkan
ayat ini maka rasulAllah menyuruh mereka untuk kekal di kediaman mereka kerana
setiap usaha mereka dan kesannya diambil kira ganjarannya.
Jelas kita fahami dari hadith yang berkaitan dengan nuzul ayat ini bahawa bukan
sahaja Allah mengganjari manusia dengan amal itu per se (sendirinya) bahkan
Allah menambahkan ganjarannya atas kesan kebaikan dari amalan tersebut namun
kita sebagai manusia tetap sahaja berkira-kira dengan Allah dalam peribadatan
kita terhadapnya.
Selain dari itu kata Ibnu Luhaia’h, Ato’ bin Dinar dan Saei’d bin Jubair dalam
komentar mereka terhadap ayat “dan Kami tuliskan segala yang mereka telah
kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan…”,
kata
mereka : “ Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dan diamalkan pula
perkara itu oleh kaum yang selainnya selepas kematiannya maka baginya kebaikan
dan ganjaran yang berterusan seperti mana yang dilakukan oleh kaum tersebut
malah tidak dikurangkan sedikitpun dari amalnya (pahalanya) atau dari pahala
kaum berkenaan dan barangsiapa yang menghidupkan satu keburukan dan diikuti
oleh kaum selainnya maka begitulah jugalah ke atasnya beban dan dosa tanpa dikurangkan
sedikitpun.”
Subhanallah, hadith ini mengajarkan kita bebarapa pengajaran yang sangat
penting antaranya selain ianya memberi khabaran gembira tentang mereka yang
berusaha ke arah kebaikan namun ia memberikan kita juga peringatan tentang
kehodohan menzahirkan amalan yang dimurkai. Kerana itu, didalam ajaran Islam
setiap perbuatan keji itu perlulah ditutup dan tidak dizahirkan seperti mana
didalam satu hadith yang menyebut Allah mengampunkan dosa hamba-hambanya
kecuali bagi mereka yang menceritakan tentang dosa berkenaan. Ianya
bukanlah persoalan mengenai menjadi
hipokrit namun ianya soal agar dosa itu tidak menjadi satu budaya apatah lagi
kebanggaan dalam kalangan masyarakat.
Kesannya dapat kita lihat
kini apabila dosa dizahirkan maka dosa dan amalan berkenaan semakin
membiak, membarah dan akhinya menjadi kebiasaan, budaya dan malah hingga ke
tahap kebanggaan. Moga Allah melindungi kita dari segala fitnah akhir zaman.
Sebagai tambahan, ayat ini juga mengajarkan kita untuk bersifat dengan sifat
hikmah dan memandang jauh ke hadapan dengan melihat kesan atas setiap perbuatan
kita dan bukannya sekadar perbuatan itu secara sendirinya. Kerana itu Allah
menyebut “…
yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan
perbuatan yang mereka tinggalkan…” , bukannya hanya perbuatan
tersebut sahaja secara sendirinya. Malah bukan sahaja ketika dalam soal
melakukan kejahatan malah juga dalam soal melakukan kebaikan.
Satu analogi; Ahmad hendak menasihati
seseorang yang tidak memakai tudung lalu dia pergi ke arah wanita berkenaan
lalu berkata dengan suara yang keras dihadapan orang ramai: “Takutlah kamu
dengan azab Allah!!! Mengapa kamu lakukan ini??!! nerakalah bagi mereka yang
tidak mematuhi hukumnya !!!”.
Ahmad mungkin sahaja berniat baik namun kesan dari ‘dakwahnya’ wanita tersebut
malah bertambah benci dengan agama dan para
pendakwah kerana beliau tidak berfikir akan kesan perbuatannya beliau
hanya memikirkan soal baiknya perbuatan itu secara sendiri iaitu memberi peringatan dan dakwah namun beliau menjauhi hikmah. Hikmah itu tidaklah setiap
masa dengan kelembutan namun hikmah itu meletakkan sesuatu kena pada tempat dan
haknya dan pada setiap keadaan perkataan
yang khusus padanya. Beginilah Quran mengajarkan kita.
… وكل شيء
أحصيناه في إمام مبين
Maka keseluruhan amal malah perkara yang wujud di cakarewala ini dicatat
dan ditulis dengan rapi dan nyata didalam
إمام مبين yaitu ibu kepada seluruh kitab dan catatan di Luh Mahfuz sama ada yang baik mahupun berat dan suka saya berikan perhatian disini
perkataan yang digunakan di sini adalah
أحصيناه yang juga membawa maksud kepada pengiraan atau boleh
kita katakan “
…Kami kirakannya…” yang memberi isyarat kepada ketelitian dan
ketepatan berbeza dengan penulisan kita yang penuh kesalahan malah kurangnya
ketepatan. Catatan-Nya adalah sempurna lengkap setiap butir dan rincian hatta bilangan setiap butir pasir malah kuman juga di dalam kiraan dan
catatan-Nya. Jika inilah ciptaan-Nya yaitu
إمام مبين sebegini hebat dan rinci bagaimana pula Allah dan
kebesaran-Nya? Maha suci Allah.
---Yela, saya mengaku. Ini kerja sekolah saya. Op, kerja universiti. :D